Pages

Saturday, October 1, 2011

Mesyuarat Pemurnian Buku Panduan Buku Silat dan Penambahan Kategori Pertandingan Silat


Satu mesyuarat Pemurnian Buku Panduan Silat dan Penambahan Kategori telah diadakan di Kuala Lumpur International Hotel bermula pada 29 September sehingga 1 Oktober 2011. Mesyuarat tersebut diadakan untuk membincangkan beberapa perkara yang melibatkan pemurnian buku panduan silat, penambahan kategori Kejohanan Pencak Silat Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan dan beberapa perkara yang telah dibincangkan di Hotel Penview , Sarawak.
Tahniah diucapkan kepada wakil teknikal silat Kebangsaan yang diketuai oleh En. Ramly bin Rasul (Pahang) dan dibantu oleh En. Nor Azman Hj Mohd. (Terengganu), En. Mohd Zamir Mohd Sharif (Melaka), En. Hazli bin Adnan (Kuala Lumpur), En. Mat Sidin bin Ibrahim (N.Sembilan) dan En. Anizam bin Ahmad (Selangor) dan berkat doa serta muafakat semua teknikal silat negeri-negeri, beberapa perkara yang dibincangkan sebelum ini di Sarawak telah mendapat persetujuan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, KPM. Sesi pembentangan kertas kerja tersebut dipengerusikan oleh En. Mohd Rashid bin Mean, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, KPM bersama-sama dengan semua Ketua Unit Kokurikulum negeri-negeri atau wakil telah bersetuju menerima dan membuat sedikit perubahan terhadap cadangan yang dibentangkan oleh wakil teknikal silat. Berikut adalah cadangan yang telah dipersetujui dan dibuat penambahbaikan semasa mesyuarat tersebut :

Perkara 1 : Buku Panduan Silat
Beberapa pindaan yang telah dipersetujui semasa mesyuarat di Sarawak telah diterima semasa mesyuarat tersebut. Beberapa siri mesyuarat akan diadakan pada masa akan datang bagi memurnikan buku tersebut dan seterusnya dicetak untuk edaran ke setiap negeri.

Perkara 2 : Penambahan Kategori Pertandingan
Penambahan kategori melibatkan sekolah rendah iaitu Kategori Jurus Wajib Lelaki Sekolah Rendah dan Seni Jurus Silat Perempuan Sekolah Rendah. Rasional pemilihan kategori tersebut adalah bagi mewujudkan kesinambungan antara kategori sekolah rendah dan sekolah menengah. Penambahan kategori tersebut telah membawa kepada pertambahan bilangan peserta iaitu sebanyak 31 orang pelajar.Penambahan ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Insyaallah.

Perkara 3 : Penambahan bilangan pegawai Kontingen
Rentetan daripada penambahan kategori tersebut bilangan pegawai kontingen juga turut ditambah.Pada tahun hadapan pegawai kontingen akan terdiri daripada :
1. Ketua Kontingen
2. Pengurus (lelaki)
3. Penolong Pengurus (perempuan)
4. Jurulatih (lelaki)
5. Penolong Jurulatih (perempuan)
6. Jurulatih Muzik

Perkara 4 : Penambahan bilangan Juri
Bilangan juri setiap negeri turut ditambah pada tahun hadapan bagi mengendalikan kejohanan disebabkan pertambahan kategori. Setiap negeri akan menghantar seramai 3 juri yang terdiri daripada seorang Pengerusi Teknik Negeri dan 2 orang juri.

Perkara 5 : Perubahan masa peragaan Kategori Seni Jurus Silat.
Masa peragaan Kategori Seni Jurus Silat akan dikurangkan kepada 3 minit sahaja berbanding masa sebelumnya iaitu selama 5 minit.

Perkara 6 : Kursus Pemantapan
Beberapa kursus akan diadakan bagi memantapkan penjurian serta persedian bagi kejohanan tahun hadapan. Antara kursus yang telah dipersetujui adalah :
1. Kursus Penilaian Silat Seni
2. Kursus Muzik Silat
3. Kursus Jurus Wajib

Perkara 7 : Paparan Markah Pertandingan
Bagi memastikan perjalanan Kejohanan Pencak Silat ini seiring dengan mana pertandingan yang dianjurkan oleh Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, telah dipersetujui bahawa markah pertandingan akan dipaparkan dan keputusan boleh diketahui lebih awal berbanding dengan amalan sebelum ini dimana keputusan diumumkan pada hari penangguhan. Perkara ini akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2012).

Perkara 8 : Pembentukan Jawatankuasa Teknikal Kebangsaan
Telah dipersetujui dan akan dibuat pembentangan lanjutan pada masa terdekat. Perincian berkaitan dengan tugasan biro akan diperhalusi dan diperkemaskan.

Perkara 9 : Membangunkan Blog Rasmi Teknikal Silat KPM.
Blog rasmi akan dibangunkan dan boleh dilayari sekarang. Blog ini akan menjadi medan percambahan idea serta pencairan maklumat berkaitan dengan teknikal silat kebangsaan, kejohanan, peraturan serta perkara-perkara yang mana difikirkan perlu mendapat persetujuan serta dikongsi semua teknikal silat negeri .

Alhamdulillah perjalanan Teknikal Silat Kebangsaan telah menunjukkan kemajuan. Berkat doa serta permuafakatan antara teknikal silat negeri telah menghasilkan satu keputusan yang amat membanggakan. Semoga perpaduan serta permuafakatan antara teknikal silat negeri kekal sentiasa dan bertambah kukuh. Terima kasih juga diucapkan kepada Bahagian Kokurikulum dan Kesenian serta pegawai-pegawai bahagian dan juga pegawai kokurikulum di peringkat negeri yang sentiasa memberi sokongan dalam membangunkan dan memartabatkan silat di sekolah